PUCHONG: Tiada pergerakan tanah signifikan dikesan berlaku di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 di sini, walaupun kejadian bencana alam itu sudah memasuki hari ketiga.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata ketika ini hanya terdapat beberapa takungan air di bahagian bawah runtuhan tanah itu serta sedikit pergerakan pada pokok-pokok serta jalan tar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata jika berlaku pergerakan tanah sekali pun ia susulan penanaman cerucuk besi yang berkemungkinan boleh menyebabkan berlaku gegaran.

"Gegaran daripada sheet piling itu juga berkemungkinan menyebabkan tanah yang masih longgar dan tidak padat lalu menyebabkannya (tanah) jatuh," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian hari ini.

Selain itu, Anbalagan berkata kerja-kerja pemotongan wayar di deretan lorong kawasan perumahan kejadian tanah runtuh itu dibuat bagi memudahkan kerja-kerja pemasangan cerucuk, dan setakat ini hanya enam cerucuk besi ditanam hari ini.

Seorang penduduk Lai Seong Yik, 48, yang menetap di kawasan itu selama 30 tahun berkata beliau bergegas pulang dari China semalam sejurus mendapat tahu bahawa rumahnya terlibat dalam kejadian tanah runtuh.

"Selama saya menetap, tidak pernah berlaku tanah runtuh dan ia merupakan pertama kali berlaku di kawasan ini. Buat sementara, saya akan menetap di rumah saudara," katanya.

Seorang lagi penduduk Low Mee Yeng, 69, pula menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan beliau dan ahli keluarganya yang tinggal selang beberapa rumah dari kawasan terjejas insiden tanah runtuh itu.

"Bekalan air teputus, bekalan elektrik pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada," katanya menambah sejak menetap di kawasan berkenaan selama 24 tahun, ia merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati tiada arahan baharu dikeluarkan untuk penduduk lain bagi mengosongkan rumah mereka. Kerja-kerja pemasangan cerucuk besi diteruskan seperti biasa.

Pada Sabtu lepas, seramai 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran rumah mereka.

-- BERNAMA